Assalamualaikum Wbt.
Pertamanya marilah kita merafakkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Tanggal 12 Rabi’ul Awwal yang disambut oleh majoriti umat Islam setiap tahun, merupakan hari ulang tahun kelahiran insan paling mulia, iaitu Nabi ﷺ ke bumi ini, dengan membawa 1001 rahmat ke seluruh alam.
Firman Allah SWT:
وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (QS al-Anbiya’ 21:107)
Adalah menjadi kewajipan bagi seorang Muslim yang beriman kepada Allah SWT, untuk mencintai Rasulullah ﷺ melebihi sekalian makhluk, baik ahli keluarga, kedua orang tuanya dan anak-anaknya.
Sabda Nabi ﷺ :
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
“Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia lebih mencintai aku daripada kedua orang tuanya, anaknya, dan manusia seluruhnya” (HR al-Bukhari)
Dunia baru sahaja digemparkan dengan insiden pembunuhan seorang guru di Perancis, disebabkan sikap provokasinya terhadap Islam. Guru sejarah tersebut pernah menunjukkan kartun Nabi Muhammad ﷺ kepada murid-muridnya. Malangnya, tindakan provokatif beliau ini dibela oleh Presiden Perancis atas dasar ‘kebebasan hak asasi bersuara’, seterunya dengan mudah Menteri Dalam Negeri Perancis, France Gérald Darmanin menyifatkan serangan tersebut sebagai ‘fundamentally an act of Islamist terrorism’.
Hipokritnya, Presiden Perancis berdiam seribu bahasa tanpa mengecam sedikit pun sikap provokatif tersebut. Sebagai tindak balas, Charlie Hebdo – majalah satira mingguan Perancis yang terkenal dengan sikap apologetik dengan Islam dan penganutnya, terus melakukan provokatif demi menyemai sentimen Islamophobia di negara sekular tersebut. Tindakan Perancis ini menimbulkan kemarahan dalam kalangan negara-negara umat Islam, sehingga langkah memboikot produk Perancis diambil.
Justeru apabila wujud pihak yang menghina sosok tubuh Nabi ﷺ , umat Islam harus tampil menjadi perisai kepada baginda ﷺ. Namun pendekatannya perlulah selari dengan apa yang disyariatkan oleh baginda ﷺ sendiri.
Hal ini kerana, cinta kepada Rasulullah ﷺ merupakan syarat kesempurnaan iman seseorang, tanpa kehadiran Baginda ﷺ menyampaikan dakwah, sudah tentu cahaya Islam tidak akan sampai kepada kita sehingga ke hari ini.
Dakwaan yang menolak peranan Rasulullah ﷺ atas dakwaan melebihkan Baginda ﷺ melebihi Allah swt, adalah bersifat batil. Hal ini kerana beriman kepada Rasulullah ﷺ menjadi syarat sah keimanan seseorang, sebagaimana terkandung dalam rukun Iman. Bahkan Allah swt telah berfirman:
قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ
“ Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (QS Aali ‘Imran 3:31)
Cinta kepada Nabi ﷺ tidak sekadar pada lafaz di bibir semata-mata, tanpa ada penghayatan dalam diri yang diterjemahkan menerusi pengamalan sunnah-sunnah Baginda ﷺ, menjadikan Baginda ﷺ sebagai qudwah dengan mengikut ajaran dan meninggalkan tegahan Baginda ﷺ dalam apa jua aspek kehidupan – akhlak, pergaulan, kekeluargaan, sosial, pentadbiran, politik, ekonomi, dan sebagainya.
Firman Allah s.w.t. :لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang): (QS al-Ahzab 33:21)
Maka bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul kali ini, marilah sama-sama kita menghayati pengorbanan Baginda Rasulullah ﷺ dan kecintaan baginda kepada kita.
Mudah-mudahan dengan memperingati kelahiran Baginda ﷺ, menjadi tanda cinta kita kepada Baginda ﷺ, seterusnya menjadikan kita insan yang meneruskan legasi perjuangan Baginda ﷺ dalam memartabatkan Islam di muka bumi ini.
Pada hari yang mulia ini juga, marilah sama-sama kita menghadiahkan sebanyak-sebanyak selawat dan salam kepada Baginda ﷺ mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan yang disyafaati Baginda ﷺ di akhirat kelak. Āmīn Ya Rabbal ‘Ālamīn.
Salam Maulidur Rasul 1442H
“Ummah Rabbani, Negara Harmoni”
Tulus ikhlas daripada:
Mudir Am MTAQ At-Tanwiriah
merangkap Pengerusi Persatuan Madrasah Tahfiz Al Quran Johor (PERMATA)
serta seluruh warga Madrasah